PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan memutuskan pembelian sistem radar berpusat di darat terkini dari firma pertahanan aeroangkasa ternama Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin.
Perkara tersebut disahkan oleh Jabatan Pertahanan AS atau The Pentagon, menerusi pautan perolehan kontrak seksyen tentera udara dalam laman sesawang rasminya itu, baru-baru ini.
Syarikat global yang berusia 26 tahun serta berpusat di ibu kota, Washington DC itu meraih kontrak penjualan dengan nilai harga tetap AS$25,111,798 (kira-kira RM105,085,994).
Kerja pemasangandilaksanakan di fasilitinya di Liverpool, New York, AS dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2025 untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tender terbuka antarabangsa itu mula dilancarkan awal Jun tahun lalu dan difahamkan model yang kemungkinan besar akan diserahkan ialah radar jarak jauh terbaharu dikenali TPS-77.
The Pentagon memaklumkan bahawa hanya ada dua permohonan bidaan yang diterima oleh Kerajaan Malaysia pada tarikh tutup, namun tidak pula dinyatakan bila dan calon pesaingnya.
Kontrak baharu berkenaan turut meliputi sistem radar secara mandiri, peralatan sampingan, alat ganti komponen, latihan pengemudian dan pilihan sokongan kontrak berstatus sementara.
Radar dikeluarkan oleh firma ini sering menjadi pilihan 30 negara, malahan peringkat rantau Asia Tenggara, cuma Indonesia, Thailand dan Singapura membeli sistem pengesan syarikat itu.
Model TPS-77 yang turut dikenali sebagai Seek Igloo atau AMES Jenis 92, dilengkapi input teknologi termaju buatan Siemens dari Jerman dan turut memiliki versi kecil iaitu TPS-77 MRR.
Ia juga digemari pasukan tentera dari negara sekutu AS antaranya Arab Saudi, Australia, Britain, Brazil, Denmark, Iraq, Jordan, Kanada, Kuwait, Mesir, Pakistan, Romania, Taiwan dan Turki.
Sistem radar itu didakwa hanya memerlukan kuasa serendah 25 kiloWatt, namun mampu menjejak sehingga 470 kilometer persegi dan berupaya memintas 18 saluran komunikasi serentak.
Setakat ini belum dimuktamadkan lokasi penempatan radar itu, namun mungkin diletakkan secara statik atau mudah alih di tempat strategik bagi memantau pencerobohan jet tentera asing.
Ketika ini, Malaysia memiliki sejumlah sembilan radar berpusat di darat antaranya ialah Thales Master 400 dari Perancis, Salex RAT-31 dari Itali dan Marconi Martello S-743 buatan Britain. – UTUSAN ONLINE