KOTA BHARU: Main seperti biasa.
Itu pesanan Rezal Zambery Yahya buat barisan pemain Kelantan FC yang akan turun berdepan juara Liga Super lapan kali Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Rezal berkata, berdepan JDT bukan tugas mudah apabila pasukan itu lengkap daripada segenap posisi sekali gus memberikan tekanan buat pasukannya.
“Tekanan memang dirasai, tetapi bagi saya pemain harus pandai mengawal emosi dan bijak mencari peluang untuk menjaringkan gol.
“Saya harap pemain dapat memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya.
Rezal Zambery memberitahu, Kelantan FC akan turun dengan ramuan terbaik untuk berdepan JDT.
Katanya, dia mahu barisan pemain Kelantan FC bertahan sebagai satu pasukan dan tidak mudah hilang arah.
“Apa yg lebih penting jangan beri terlalu banyak ruang kepada pemain JDT kerana ia boleh membahayakan kubu Kelantan FC,” ujarnya.