Mahkamah terima sijil sakit Ahmad Zahid, tetapkan tarikh bicara baharu - Utusan Malaysia

Mahkamah terima sijil sakit Ahmad Zahid, tetapkan tarikh bicara baharu

AHMAD ZAHID HAMDII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbicaraan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung Sistem Visa Luar Negara ditangguhkan sekali lagi pada 28 September ini selepas permohonannya dibenarkan Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa, membenarkan penangguhan kerana defendan masih bercuti sakit dan permohonan itu dibuat oleh pihak pembelaan yang memaklumkan Ahmad Zahid bercuti sakit sehingga 4 September ini.

Beliau turut mengambil maklum mengenai kehadiran doktor dari Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar yang merawat bekas Timbalan Perdana Menteri itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu untuk memberi penjelasan kepada Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

“Berdasarkan kandungan MC secara prima facie, mahkamah menerima tertuduh tidak sihat sehingga 4 September. Mahkamah mengucapkan terima kasih atas komitmen yang ditunjukkan oleh defendan dan minta supaya komitmen itu berterusan pada hari sambung bicara ditetapkan,” katanya.

Malah, sebelum itu peguam kepada Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Hamidi Mohd Noh memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan anak guamnya pada hari ini dan esok ditangguhkan kerana beliau masih bercuti sakit sehingga Sabtu ini.

“Ahmad Zahid belum benar-benar sembuh. Jadi pendapat saya Yang Arif, permohonan daripada pihak pembelaan supaya kes tidak dijalankan pada hari ini dan kita tetapkan tarikh baharu kerana saya percaya, kehadiran orang kena tuduh (OKT) bukan bermaksud kehadiran fizikal sahaja, tetapi termasuk juga kehadiran mentalnya supaya dia bersedia,” jelasnya.

Selepas mendengar permohonan tersebut, mahkamah kemudian menetapkan 28 September, 22 Oktober, 18 hingga 19 November dan 20 hingga 24 Disember sebagai tarikh baharu bagi menyambung perbicaraan membabitkan 40 pertuduhan rasuah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan, sijil cuti sakit daripada hospital kerajaan perlu diminta oleh pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah berikutan terdapat sijil dari hospital swasta meletakkan nota untuk tidak digunakan dalam prosiding mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menghargai komitmen Ahmad Zahid apabila menghadiri prosiding yang sepatutnya berlangsung pada hari ini dan esok dan berharap akan berterusan pada tarikh baharu nanti.

Rabu minggu lepas, Utusan Malaysia melaporkan perbicaraan Ahmad Zahid ditangguhkan untuk kali ketiga selepas beliau tidak dapat hadir kerana menerima rawatan di hospital akibat sakit belakang yang dialaminya.

Beliau sepatutnya hadir ke Mahkamah Shah Alam bagi meneruskan perbicaraan berhubung tuduhan rasuah melibatkan VLN yang dikaitkan dengan syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) sejak 1 Jun lagi namun ditangguhkan pada 15 Jun.

Namun perbicaraan itu ditangguhkan sekali lagi pada 25 Ogos sebelum mahkamah menerima sijil cuti sakit dan menetapkan tarikh baharu perbicaraan bermula 28 September ini.

Untuk makluman, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya