LRA Semenyih, Labohan Dagang tampung kelewatan Langat 2 - Utusan Malaysia

LRA Semenyih, Labohan Dagang tampung kelewatan Langat 2

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan inisiatif melalui peruntukan kewangannya bagi menampung kekurangan bekalan air akibat kelewatan Kerajaan Persekutuan menyiapkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL 2).

Malah, kerajaan negeri juga dikatakan tidak terlibat secara langsung dalam projek tersebut sebaliknya diuruskan sepenuhnya oleh syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Hal itu dimaklumkan Exco Infrasturktur dan Pertaniannya, Izham Hashim yang memberitahu inisiatif dilakukan kerajaan negeri adalah membina Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang.

Katanya, kerajaan negeri turut mendapatkan pinjaman dari Kementerian Kewangan bagi melaksanakan Projek Mitigasi 2 yang melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3).

“Kerajaan Negeri Selangor hanya terlibat di dalam perkara berkaitan dengan tanah tapak projek dan permit yang dikeluarkan oleh agensi teknikal negeri.

“Dengan adanya projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, bekalan air kepada pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas Laporan Audit Negara 2019 Siri 2 tentang pelaksanaan projek saluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Projek LRAL 2 berikutan objektif yang disasarkan masih belum tercapai.

Menurutnya, secara amnya pengauditan pengauditan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara adalah baik bagi menyedarkan semua pihak tentang kepentingan pengurusan sesuatu projek  terutamanya projek mega. 

“Kegagalan di dalam pengurusan projek boleh menyebabkan matlamat pelaksanaan sesuatu projek tidak dapat dicapai dengan sebaiknya,” jelasnya.

Dalam pada itu, masih terdapat sumber air di negeri ini yang boleh dibangunkan untuk dijadikan air terawat dan dibekalkan kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kerajaan negeri membuat beberapa kajian berkenaan keperluan air di Selangor dan mendapati masih terdapat sumber air boleh dijadikan air terawat.

“Pada masa sama kerajaan negeri  bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membangunkan Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau yang dijangka dapat mengeluarkan sebanyak 1,400 juta liter sehari (JLH) bagi kegunaan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai langkah memastikan bekalan air mencukupi,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya