Lori masalah rempuh tujuh kenderaan - Utusan Malaysia

Lori masalah rempuh tujuh kenderaan

KEADAAN lori membawa tar yang merempuh tujuh kenderaan dipercayai akibat brek rosak dalam kejadian di Sungai Buloh, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan tar yang dipercayai mengalami masalah brek di lampu isyarat Persiaran Bukit Rahman Putra 2, Sungai Buloh dekat sini, petang semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang apabila pemandu lori berusia 35 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit di kawasan berselekoh di laluan tersebut sebelum merempuh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, ketika kejadian, lori ‘tipper’ jenis Nissan CD54V berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bukit Rahman Putra untuk ke Petaling Jaya.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, lori berkenaan hilang kawalan akibat mengalami masalah brek dan merempuh tujuh buah kenderaan yang berhenti menunggu lampu isyarat merah daripada arah belakang.

“Kenderaan yang dilanggar masing-masing terdiri daripada sebuah Honda Jazz, Perodua Myvi, trak jenis Isuzu NRR35, pikap jenis Isuzu D-Max, van jenis Daihatsu Gran Max, Perodua Axia dan van jenis Toyota Hiace.

“Kesemua mangsa dalam kemalangan itu terselamat dan hanya kenderaan yang terbabit mengalami kerosakan dengan sebuah daripadanya rosak sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shafa’aton, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Jelasnya, mereka boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN