Lima putera raja seru rakyat bersatu perangi Covid-19 - Utusan Malaysia

Lima putera raja seru rakyat bersatu perangi Covid-19

LIMA putera raja di dalam program Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disiarkan secara dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64, kesemua putera raja dari lima buah negeri menzahirkan harapan agar seluruh rakyat terus bersatu dalam memerangi pandemik Covid-19 selain melahirkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Kesemua lima putera raja berkenaan menzahirkan titah harapan berkaitan Malaysia itu secara dalam talian di dalam program Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, semalam.

Program tersebut disertai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baginda berlima turut menitahkan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa Covid-19 dan mendoakan mereka terus tabah selain berharap penularan wabak tersebut segera berakhir.

Pada kesempatan sama, kesemua putera raja tersebut turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan di atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam memerangi wabak Covid-19 selain mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat di negeri masing-masing dan seluruh negara.

Dalam program itu, Tunku Ali Redhauddin menyeru semua pihak untuk merenung kembali lima prinsip Rukun Negara kerana ia adalah asas pembentukan tanah air yang menyatukan semua.

Tengku Muhammad Faiz pula bertitah, sambutan kemerdekaan tahun ini pastinya berbeza di saat negara berdepan Covid-19.

“Namun begitu, ia bukanlah penghalang untuk kita menghayati detik-detik pengorbanan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin, pahlawan-pahlawan negara serta rakyat terdahulu yang berjuang demi mencapai kemerdekaan negara.

“Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar hari untuk bersuka-suka semata-mata, tetapi untuk kita menghayati dan mengenang erti kemerdekaan bahawa ia bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah, dan datangnya dengan izin oleh Allah SWT,” titah baginda.

Selain itu, Tengku Muhammad Ismail pula bertitah agar seluruh rakyat bersatu padu dalam menangani pandemik Covid-19 dengan menzahirkan kesungguhan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Seterusnya, Tengku Amir Shah menyeru seluruh rakyat agar bersatu hati, mengekalkan perpaduan dan meraikan perbezaan kaum supaya keharmonian dapat dikekalkan.

“Marilah kita semarakkan bulan kemerdekaan ini dengan perkara-perkara yang positif,” titah baginda.

Akhir sekali, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, agar semua bersama-sama membangunkan negara, bangsa, memerdekakan diri daripada segala unsur negatif dan tidak saling menuding jari dengan sentiasa mencari titik persamaan.

“Pada masa sama, sebarang pandangan wajarlah membina, konstruktif dan mengetengahkan solusi,” titah baginda.

Program julung kali itu telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Suara Sunnah Channel; Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), MAIPs serta di saluran You Tube SSTP JPNPERLIS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya