PETALING JAYA: Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou mahu meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali memberi fokus kepada kejohanan tahun hadapan.
Katanya, dia akan menjalani latihan seperti biasa dalam usaha untuk mengekalkan kecergasan membolehkan dia bersaing dengan pemain yang jauh lebih muda daripadanya.
Dia memberitahu, tindakan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mewujudkan kejohanan siri jelajah seperti atlet normal secara tidak langsung memberikan galakan kepada atlet para yang baharu menceburi sukan itu.
“Boleh dikatakan ramai merupakan pencabar saya kerana mereka berusia jauh lebih muda daripada saya iaitu 23 hingga 25 tahun, jadi saya kena kekal cergas untuk bersaing.
“Siri Jelajah Dunia BWF akan bermula tahun hadapan, bagi saya ia adalah sesuatu yang baik untuk atlet para macam kami, kalau mereka yang baru bermain boleh menyertai kejohanan peringkat 1,” katanya.
Sementara itu, Liek Hou menyokong tindakan kerajaan mahu menubuhkan sekolah sukan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) kerana ia akan membuka ruang kepada lebih ramai individu untuk bersukan.
“Saya sudah meletakkan penanda arasa yang cukup baik, jadi penubuhan sekolah seperti ini adalah sangat baik,” katanya.