PUTRAJAYA: Negeri-negeri di Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya selain Melaka dibenarkan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam yang turut membenarkan Kedah beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.
Menurut beliau, Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan turut membuat ketetapan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) baharu antaranya majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi Fasa 4.
Kata beliau, bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani ujian awal (pre event test) menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan.
Beliau berkata, pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya dibenarkan di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuat kuasa 15 Oktober ini.
“Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4. Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton/penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.
“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung. Maklumat lanjut mengenai SOP bagi kelonggaran baharu ini, boleh dilayari di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my, ” katanya.
Perdana Menteri turut membangkitkan isu segelintir individu yang keluar daripada kediaman biarpun sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Beliau menegaskan, individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan yang tegas kerana tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan bagi menangani wabak ini. – UTUSAN