KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tidak serik mengulangi kesilapan sama apabila sekali lagi menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial dan akhirnya mengundang padah dan dihukum penjara setahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharil Mohd. Sarif, 38, selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga penganggur menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap pada 24 Ogos lalu dan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.
Selain itu, mahkamah juga turut mengenakan denda RM1,000 kepada tertuduh mengguna pakai proviso kes tersebut (mengguna pakai di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di mana setiap kesalahan selepas pensabitan boleh didenda RM1,000).
Mengikut pertuduhan, Sharil didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap Seri Paduka dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil ‘Sharil Mohd. Sarif’ pukul 7.43 pagi pada 20 April 2021.
Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pukul 1.30 petang pada 20 April tahun sama.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu ketika rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan yang bermula dari tarikh tangkap dengan alasan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya sudah meninggal pada Jun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dengan alasan tertuduh sebelum ini pernah dihukum penjara dua kali atas kesalahan sama pada tahun 2019 dan 2020
Pada 26 April 2019, Sharil dipenjara dua bulan oleh mahkamah sama, atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil nama Sharil Chain manakala pada 6 Julai 2020 pula, dia dipenjara 10 bulan atas kesalahan sama. – UTUSAN