YAN: Seorang bilal yang meluangkan azan selepas melihat arus deras yang luar biasa mendakwa telah menyelamatkan rumahnya dimasuki air dan lumpur dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.
Menurut Yusof Hamid, 63, kejadian itu berlaku ketika dia dan isterinya, Siti Aishah Saad, 56, berada di dalam rumah sebelum mendengar dentuman batu dan deruman arus deras dari sungai berdekatan rumahnya pada pukul 5.30 petang.
Dia yang menjadi bilal di Masjid Al Muhammadi Kampung Pauh di sini berkata, jarak kedudukan rumahnya dengan sungai tersebut kira-kira 30 meter sahaja.
“Apabila saya ke luar dari rumah mendapati air sungai telah melimpah dan mula memenuhi pekarangan rumah saya.
“Bimbang dengan keselamatan, saya kemudian azan dan lima minit kemudian air deras itu hanya melalui pekarangan rumah saya serta tidak memasuki ke dalam rumah walaupun air dan lumpur mula memasuki ke dalam sebuah dewan berdekatan.
“Ini mungkin keberkatan daripada azan yang saya laungkan itu. Ini semuanya kerja Allah dan saya hanya berusaha dan berdoa sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Yusof, sejak beliau dilahirkan di kampung itu didapati tidak pernah berlaku tragedi kepala air seburuk itu.
“Kejadian itu menyebabkan saya dan isteri menjadi takut setiap kali hujan lebat kerana bimbang tragedi itu berulang kembali,” katanya. – UTUSAN