PETALING JAYA: Jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly menutup tirai Sukan Paralimpik 2020 dengan kilauan emas sebentar tadi, sekali gus melengkapkan sasaran kontinjen negara pada temasya di Tokyo itu.
Begitupun atlet berusia 24 tahun itu melalui episod dramatik sebelum mengesahkan pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di Stadium Olimpik, Tokyo, yang dibasahi hujan.
Latif mengalami kecederaan ketika lompatan kelima apabila salah mendarat dan mencetuskan kesakitan di bahagian pangkal paha, sehingga terpaksa dibawa menaiki kerusi roda.
Mujur tiada pencabar lain yang berjaya mengatasi lompatan terjauh pemenang emas edisi lalu di Rio 2016 itu, yang dilakukannya dalam percubaan kedua dengan catatan dengan 7.45 meter (m).
Perak menjadi milik atlet Greece, Athanasios Prodromou menerusi catatan 7.17m, manakala Nicholas Hum dari Australia meraih gangsa selepas membuat lompatan sejauh 7.12m.
Atlet Belanda, Ranki Oberoi, yang dilihat mampu menjadi ancaman terbesar selepas menewaskan Latif dalam pertandingan terakhir disertai mereka pada Kejohanan Para Dunia 2019 di Dubai bagaimanapun menduduki tempat ketujuh dengan catatan 6.76m.
Daripada enam percubaan, Latif hanya sekali gagal iaitu pada lompatan keempat, sebelum menarik diri pada lompatan terakhir selepas mengalami kecederaan.
Malaysia menutup tirai dengan pencapaian paling cemerlang sepanjang menyertai temasya tersebut apabila membawa pulang tiga emas dan dua perak.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Wong Kar Gee menamatkan acara lompat jauh lelaki T13 di Paralimpik Tokyo di tempat keenam dengan catatan 5.93m.
Biarpun tidak membawa pulang sebarang pingat, namun persembahannya wajar dipuji selepas berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila kategori asal T12 disertainya sebelum ini diubah kepada T13.