Larangan pondan masuk masjid bakal dilaksanakan di Wilayah Persekutuan - Utusan Malaysia

Larangan pondan masuk masjid bakal dilaksanakan di Wilayah Persekutuan

AHMAD Marzuk Shaary (kanan) melihat barangan keperluan makanan dalam Program Inspirasi Qaseh Kami : Food Bank Yapeim 3.0  di pekarangan stesen teksi di Kemaman, Terengganu,  hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kerajaan sedang meneliti untuk melarang golongan transgender daripada memasuki masjid di Wilayah Persekutuan, seperti yang dikuatkuasakan di Perlis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan itu adalah wajar demi menjaga kedaulatan agama di samping kesucian masjid sekali gus mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Jika golongan transgender masuk ke masjid, contohnya individu lelaki yang memakai tudung, tentunya perbuatan itu sangat tidak sesuai kerana bukan sahaja mengelirukan ramai, malah mengganggu privasi golongan hawa terutama soal aurat.

“Jadi kita sedang meneliti untuk melaksanakan larangan sama di Wilayah Persekutuan manakala di peringkat negeri pula terpulang kepada pihak berkuasa agama masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Qaseh Kami : Food Bank Yapeim 3.0 di pekarangan stesen teksi di sini, hari ini.

Selasa lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, golongan mak nyah atau transgender diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina, kerana boleh mengganggu suasana ibadah.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata, sekiranya golongan transgender memasuki masjid untuk bertaubat, maka kedatangan tersebut adalah dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai pencerobohan golongan transgender di masjid dan pihaknya percaya, Perlis melaksanakan larangan tersebut sebagai langkah pencegahan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya