PETALING JAYA: Tempoh 25 hari melakukan persediaan tanpa sebarang perlawanan persahabatan antara faktor pasukan bola sepak wanita negara tewas 0-4 kepada Thailand dalam aksi kelayakan Piala Asia Wanita 2022, kelmarin.
Pengendali skuad kebangsaan, Jacob Joseph berkata, berbanding Thailand, mereka telah melakukan persiapan selama lima bulan dan sempat mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi pemain saya dengan hanya 25 hari tempoh latihan tanpa perlawanan persahabatan.
“Kita hanya menjalani latihan secara gelembung sukan berbanding Thailand yang telah melakukan persiapan lima bulan dan mengadakan perlawanan persahabatan untuk bertanding di sini.
“Saya juga difahamkan barisan kejurulatihan mereka semuanya dari Jepun,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam saingan Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini, Palestin menyaksikan skuad negara dibolosi dua gol dalam tempoh dua minit dengan ketinggalan tiga gol pada babak pertama.
Begitupun skuad kebangsaan bangkit dengan meningkatkan tahap permainan di babak kedua dengan hanya melepaskan satu gol.
“Bermula di bilik persalinan lagi, pemain-pemain saya yang kebanyakkan berusia 20 tahun kebawah yang tidak pernah ada pengalaman di peringkat antarabangsa telah menunjukkan rasa gemuruh.
“Saya telah menasihati mereka bermain seperti biasa namun jelas apabila masuk ke padang mereka seperti tidak tahu melakukan apa-apa.
“Namun pada babak kedua pemain mula mendapat keyakinan dan menunjukkan semangat juang yang tinggi. Mereka telah beri segalanya tetapi ini sahaja yang kita ada dengan tempoh latihan yang singkat,” ujarnya.
Pasukan negara akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Palestin, esok.