KPM hanya benar pekerja sokongan lengkap vaksin - Utusan Malaysia

KPM hanya benar pekerja sokongan lengkap vaksin

Kementerian Kesihatan tiada bukti kanak-kanak bawah 12 tahun memerlukan vaksin Covid-19. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya membenarkan pekerja terlibat dengan kontraktor perkhidmatan sokongan yang lengkap vaksinasi memasuki premis sekolah. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Dasar) Kementerian, Noor Azman Abdul Rahman berkata, perkara itu bagi memastikan usaha kementerian dalam mencapai imuniti kelompok yang melibatkan perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), bekalan makanan bermasak (BMB) dan bekalan makanan mentah (BMM). 

Katanya, kebenaran tersebut terpakai buat pekerja-pekerja yang melengkapi 14 hari dari tarikh dos kedua dan 28 hari bagi vaksin yang memerlukan satu dos suntikan vaksin. 

“Melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZaneca, dan Sinovac, manakala penerima dos Johnson & Johnson dan Cansino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan,” katanya dalam satu surat bertarikh 3 September di laman web rasmi KPM.

Menurut Noor Azman, semua kontraktor yang terlibat dengan perkhidmatan sokongan itu perlu memastikan perkara itu keatas pekerjanya sebelum memasuki mana-mana premis sekolah.  

“Tuan/puan selaku kontraktor dikehendaki memastikan pekerja-pekerja di bawah seliaan telah lengkap menerima dos vaksin Covid-19 sebelum memasuki premis sekolah yang terlibat,” katanya. 

Sebelum ini, KPM memaklumkan pembukaan sekolah bermula pada 3 Oktober ini secara berperingkat melibatkan sekolah-sekolah di bawah negeri-negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Fasa 2 melibatkan kelas peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam, manakala negeri Fasa 3 melibatkan semua murid lain, namun tetap tertakluk kepada penilaian risiko di setiap negeri. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN