Kolam mandi Ulu Bendul ditutup sementara - Utusan Malaysia

Kolam mandi Ulu Bendul ditutup sementara

ORANG ramai beriadah di kolam mandi Ulu Bendul, Kuala Pilah ketika tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kolam mandi Ulu Bendul yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) ditutup sementara berkuatkuasa esok sehingga Ahad ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilakukan.

Yang Dipertua MDKP, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, penutupan itu susulan laporan berlaku penularan jangkitan kes Covid-19, Leptospirosis (kencing tikus), dan Rotavirus di kawasan rekreasi itu, minggu lalu.

“Kawasan tersebut akan ditutup sementara selepas disyorkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan supaya pihak berkenaan dapat melakukan siasatan dan analisa.

“Kerja-kerja penyelengaraan dan pembersihan akan dilakukan dalam tempoh tiga hari tersebut (sepanjang penutupan),” kataya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini media melaporkan terdapat 13 kes jangkitan virus melibatkan pengunjung yang mempunyai sejarah pergerakan ke kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul.

Daripada jumlah tersebut, dua kes dijangkiti Covid-19, dua kes Leptospirosis dan satu kes Rotavirus manakala lapan lagi kes masih menunggu keputusan ujian.

Pesakit dikesan mempunyai gejala demam, cirit-birit, muntah, sakit badan dan lain-lain selepas mengunjungi pusat rekreasi itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr. Harlina Abdul Rashid dalam kenyataan memaklumkan, terdapat dua kes Leptospirosis dan satu kes Rotavirus telah dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban di sini.

“Kes-kes ini masih dalam siasatan dan menunggu keputusan ujian pengesahan Leptospirosis.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah melakukan penilaian risiko dan mengambil sampel persekitaran di kawasan berkenaan,” katanya.

Jelas Harlina, tindakan susulan akan diambil selepas mendapat keputusan ujian pengesahan, penilaian risiko dan sampel persekitaran.

“Jika mempunyai gejala dan sejarah perjalanan ke Ulu Bendul, boleh dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan.

“Orang awam justeru diingatkan untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, mengelakkan tempat yang sesak, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan elakkan mengunjungi kawasan awam jika bergejala,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya