PUTRAJAYA: Kluster tempat kerja mencatatkan jumlah terbanyak iaitu sembilan kluster Covid-19 daripada 15 kluster, hari ini, dengan bakinya, lima kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja melibatkan tiga di Johor manakala Perak dan Selangor, masing-masing dua kluster serta Kedah dan Pahang, masing-masing satu kluster.
Kluster komuniti pula, empat di Kelantan dan satu di Sabah manakala kluster kumpulan berisiko tinggi melibatkan satu di Johor.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan klaster aktif sebanyak 1,088 kluster manakala 4,389 kluster tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 12,735 kes berbanding semalam, 12,434 kes sekali gus diatasi 17,725 kes sembuh, manakala 924 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 512 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, Sarawak terus menjadi penyumbang terbanyak iaitu 2,487 kes diikuti Selangor (1,940), Johor (1,241), Kelantan (1,232) dan Kedah (1,033).
“Lapan negeri mencatatkan kes tiga angka iatu Sabah (993), Perak (913), Pulau Pinang (763), Terengganu (726), Pahang (697), Kuala Lumpur (258), Melaka (194) dan Negeri Sembilan (132).
“Perlis merekodkan 97 kes dan Putrajaya pula, 28 kes manakala Labuan hanya satu kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan kematian sebenar akibat Covid-19 (purata tujuh hari) iaitu 88 kes berbanding kelmarin yang dilaporkan, 89 kes sebelum ia berubah kepada 107 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini yang berdasarkan maklumat dikemaskini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my,
Bagi jumlah kes kematian yang dilaporkan, berlaku penurunan, sebanyak 208 kes berbanding kelmarin, 240 kes, menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 26,143 kes.
Sebanyak 64 daripada 208 kematian melibatkan kes yang dibawa ke hospital (BID) dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 5,232 kes.
Jika dibahagikan mengikut negeri, Selangor kembali mencatatkan kematian dilaporkan 76 kes manakala kematian sebenar harian (purata tujuh hari), 9 kes diikuti Johor (30/19), Pulau Pinang (30/13), Sabah (22/12), Kedah (12/6), Kelantan (9/5), Perak (8/5), Terengganu (7/3), Pahang (4/4), Kuala Lumpur (4/1), Perlis (4/1), Sarawak (2/6) dan Melaka (0/2),
Bagaimanapun, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan sebarang kematian bagi dua kategori itu. – UTUSAN ONLINE