KUALA LUMPUR: Veteran DAP menyokong pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang jika langkah itu mampu mengembalikan kestabilan politik negara.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, bagi merealisasikan hasrat melalui CSA, beliau
Malah, katanya, sejak 17 Jun lalu lagi, beliau telah mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan sebagai usaha memastikan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini tidak melepasi kadar 5,000 kes.
“Idea moratorium politik yang diajukan saya pada waktu itu mungkin terlalu ke hadapan namun lihatlah kini situasi bertambah buruk dan kita telah merekodkan 1,765,666 kes Covid-19 dan 16,942 orang terkorban.
“Saya juga menyeru pembaharuan Parlimen dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19.
“Rakyat Malaysia tidak mahu melihat krisis Perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk tetapi setiap rakyat termasuk Eksekutif dan badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat melawan pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang berkata demikian mengulas kenyataan daripada Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentang kewajaran CSA dilaksanakan.
Kata Ahli Parlimen Larut itu, jika CSA dilaksanakan, ia bermakna parti-parti politik akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu suhu politik negara diredakan.
25 Ogos lalu, kerajaan mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Bagaimana, ia bukanlah disifatkan sebagai CSA dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melibatkan sebarang perjanjian berkenaan untuk rundingan bersama kerajaan sebaliknya lebih kepada persefahaman demi kebaikan rakyat. – UTUSAN ONLINE