Kilang punca pencemaran Sungai Semenyih bakal didakwa

Kilang punca pencemaran Sungai Semenyih bakal didakwa

SEORANG petugas Jabatan Alam Sekitar memasang pita pelekat di sebuah kilang yang dikesan menjadi punca pencemaran air Sungai Semenyih semalam. – FOTO/IHSAN JAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air mengesahkan kertas siasatan telah pun dibuka untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Semenyih.

Isu itu diuruskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor susulan Loji Rawatan Air (LRA) sungai tersebut terpaksa dihenti tugasnya pada 31 Ogos lalu dan kemudian sekali lagi Jumaat lepas.

“Siasatan pada 2 dan 3 September lalu mendapati kilang itu memang beroperasi serta JAS mengambil beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sampel air sungai di muka sauk Jenderam Hilir turut diambil dan kesemuanya sudah pun dihantar oleh pihak JAS negeri itu kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis komposisi kimia.

Kementerian memaklumkan bahawa henti tugas itu ekoran pencemaran sebatian penyebab bau tahap 2 yang dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. pada 5.15 petang kelmarin.

Siasatan kemudian diteruskan pada tengah malam hari itu dan pengawasan kualiti udara di takat pelepasan akhir kilang sebelum ke longkang awam telah berjaya mencerap bahan kimia meliputi sebatian organik meruap di udara yang berbau dan ada persamaan dengan bahan dikesan dalam sampel air ketika insiden henti tugas LRA pada Selasa lalu.

Berdasarkan petunjuk terbaharu itu, pihak JAS telah pun melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan terhadap kilang di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta dan proses pengeluaran di kilang tersebut dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Kes berkenaan seterusnya disiasat JAS di bawah Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan jika disabitkan kesalahan pencemaran perairan daratan, boleh didenda hingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau pun kedua-duanya bagi setiap parameter.

Pencemaran berulang dalam masa tiga hari itu mengakibatkan gangguan bekalan air yang melibatkan sejumlah 463 kawasan di Lembah Klang termasuk 23 tempat di sekitar Putrajaya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara juga sudah mengambil bahan bukti dan membuka kertas siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 121 (1) (C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, merujuk kesalahan pencemaran ke atas sumber air yang sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN