PUTRAJAYA: Sebuah kilang di kawasan perindustrian di Jenderam Hilir, Sepang disyaki menjadi punca pencemaran mengakibatkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sekali lagi terpaksa dihentikan lewat petang ini, akibat pencemaran bahan penyebab bau.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, insiden berulang di lokasi sama dalam tempoh kurang dari satu minggu tersebut amat mendukacitakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab penjenayah alam sekitar itu perlu dikenakan tindakan tegas.
Menurut beliau, agensi penguat kuasa daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan jejak pencemaran hingga membawa kepada penemuan kilang tersebut.
“Laporan polis telah dibuat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. sejurus selepas pencemaran
dikesan dan polis akan menjalankan siasatan lanjut.
“Kes dijangka disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap air yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, SPAN akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B), iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000.00 atau kedua-duanya sekali.
Justeru, beliau memberi amaran kepada pihak yang mencemar alam sekitar dikenakan tindakan tegas yang setimpal dengan kesalahan sehingga menyebabkan LRA Semenyih terpaksa ditutup yang menjejaskan bekalan air kepada 323,622 akaun atau kira-kira 1.6 juta pengguna.
Sebanyak 463 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan air sekali lagi, berlaku sehari selepas bekalan air pulih di 463 kawasan di Lembah Klang.
Air Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, loji rawatan air Sungai Semenyih dihenti tugas pukul 5.15 petang tadi.
Loji rawatan dihenti tugas tersebut adalah loji sama yang ditutup pada 31 Ogos lalu akibat pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Susulan kejadian terbaharu itu, Air Selangor memberitahu, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor. – UTUSAN ONLINE