PUTRAJAYA : Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memuktmadkan kerja-kerja menstabilkan cerun dan menaik taraf Sungai Kemensah membabitkan anggaran kos sekitar RM10 juta.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerja menaik taraf itu antara pelan jangka panjang bagi mengelak risiko tanah runtuh seperti yang berlaku di Jalan Kemensah Heights, Ampang, Selangor, Jumaat lalu.
Beliau berkata, projek itu dilaksanakan selepas mendapat input daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Dijangkakan dalam tempoh sebulan pelan kerja tersebut dapat disiapkan untuk tindakan susulan dari segi pembiayaan dan perolehan.
“Bagi penyelesaian jangka pendek pula, kerja-kerja membaik pulih aliran dan tebing sungai sepanjang 250 meter turut dilakukan bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, bermula semalam, JPS melaksanakan kerja-kerja awalan pembersihan sisa runtuhan bagi memastikan aliran sungai lancar.
Tuan Ibrahim berkata, kementeriannya juga menyegerakan proses penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan JPS menjalankan kerja-kerja penstabilan cerun sungai termasuk memasang sheet pile dan kerja-kerja tanah berkaitan.
Menurutnya, sejurus selepas kejadian tanah runtuh itu, beliau meminta pengurusan atasan kementerian dan agensi-agensi seperti JPS dan JAS untuk segera turun ke tapak dan melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pergerakan tanah daripada runtuhan tersebut menyebabkan Sungai Kemensah terkambus dan mengakibatkan aliran sungai terhalang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan berlaku ribut petir dan hujan di satu dua tempat di Kemensah, Ampang Jaya dan kawasan sekitar pada hari ini dan esok.
“Mulai 21 hingga 23 September pula, dijangka cuaca hujan di satu dua tempat pada lewat petang.
“Saya berharap semua penduduk sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan dengan cuaca,” katanya. – UTUSAN ONLINE