Kerajaan pantau kos bahan binaan, pastikan harga terkawal

[Parlimen]: Kerajaan pantau kos bahan binaan, pastikan harga terkawal

KENAIKAN kos bahan binaan menjadi antara cabaran yang dihadapi sektor pembinaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa kos bahan binaan akan sentiasa dipantau dan memastikan harga barang berada dalam keadaan terkawal.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui, kenaikan kos bahan binaan menjadi antara cabaran yang dihadapi sektor pembinaan setelah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain-pemain industri.

Oleh itu, kementeriannya telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga (VOP) kepada Kementerian Kewangan.

“Alhamdullilah, Kementerian Kewangan telah bersetuju dan meluluskan dengan menguatkuasakan pekeliling baharu iaitu pelaksanaan syarat perubahan harga dalam kontrak kerja pada 15 Julai 2021, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Di samping itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan pemantauan harga binaan dan menerbitkannya melalui portal National Construction Cost Centre (N3C).

“Harga-harga bahan binaan akan dikumpulkan dengan kerjasama beberapa persatuan berkaitan pembinaan dan diperoleh daripada kontraktor.

“Jadi, saya mengharapkan usaha-usaha ini dapat membantu para kontraktor untuk membuat perbandingan harga. Insya-Allah, kita akan terus memantau dan memastikan bahawa harga barang terkawal, lagipun pada masa ini dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi, barang agak stabil dari segi harga ketika ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai usaha kerajaan dalam menangani masalah kenaikan kos bahan binaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya