PETALING JAYA : Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebulat suara memngambil keputusan untuk mengekalkan keputusan aksi antara Negeri Sembilan berdepan Kelantan FC pada 27 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Kelantan FC bakal berdepan denda berdasarkan Artikel 2.1.2, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya telah menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan pada 30 Ogos lalu.
Menurutnya, Negeri Sembilan meminta MFL dengan menggunakan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021 untuk menilai kesalahan yang dilakukan ketika pasukan itu tewas 1-2 kepada Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Dalam perlawanan itu, Kelantan FC dilaporkan telah melakukan pertukaran pemain kelima dengan mengunakan peluang keempat dalam masa kecederaan separuh masa kedua.
Jelas Stuart, bantahan Negeri Sembilan itu selaras mengikut Manual Liga Malaysia 2021 telah pun diterima oleh CEO MFL dalam tempoh 72 jam selepas tamatnya perlawanan di mana pihaknya meminta Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menilai kesalahan yang dilakukan oleh Kelantan FC.
“MFL telah menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan yang memperuntukkan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021 dalam kes melibatkan pasukan mereka menentang Kelantan FC.
“Dalam surat bantahan tersebut, Negeri Sembilan turut melampirkan Artikel 2.1.1 dan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021.
“Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah mengadakan mesyuarat bagi menyelesaikan masalah yang berlaku melibatkan Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC.
“Bagaimanapun Ahli Lembaga MFL telah membuat ketetapan bahawa keputusan perlawanan melibatkan Negeri Sembilan dan Kelantan FC kekal.
“Perkara ini boleh dirujuk mengikut Artikel 5.3.2, Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2021.
“Semua keputusan telah diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL mengikut ketetapan Manual Liga Malaysia 2021,” katanya ketika dihubungi.
Mengikut peraturan pertukaran pemain, pasukan boleh menggantikan lima pemain tetapi ia hanya terhad dalam tiga peluang pertukaran sahaja.