Keputusan pembebasan Ahmad tiada kaitan dengan politik

Keputusan pembebasan Ahmad tiada kaitan dengan politik

PEMBEBASAN Ahmad Maslan daripada dua tuduhan gagal pengisytiharkan wang RM2 juta dibuat mengikut undang-undang dan telah melalui proses yang telus serta teratur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyelesaian kes menerusi kompaun RM1.1 juta dikenakan terhadap Datuk Seri Ahmad Maslan bukan bermakna Ahli Parlimen Pontian itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Menurut kenyataan media Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq iaitu peguam mewakili Ahmad, proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat.

Katanya lagi, proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus serta teratur.

“Penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang. Datuk Seri Ahmad juga telah menyelesaikan komitmen beliau bagi tujuan penyelesaian ini iaitu melunaskan pembayaran kompaun sepertimana yang telah dipersetujui oleh pendakwaan dan pembelaan. 

“Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Ahmad sepanjang perjuangan beliau,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahmad terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Ini selepas Ahli Parlimen Pontian membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta

Sebelum ini  Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya