PETALING JAYA: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke atas perlawanan Negeri Sembilan dan Kelantan FC dibuat dibuat berdasarkan peraturan dalam Manual Liga Malaysia 2021, bukan kerana kepentingan tertentu atau sebaliknya.
Bekas pengadil kebangsaan, Ahmad Khalidi Supian, yang juga bekas pegawai pertandingan berstatus Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menegaskan, MFL telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengendali Liga Malaysia (Liga M) dan berlaku adil terhadap rakan kongsi mereka.
Khalidi yang kini bertugas sebagai Pengajar Kecergasan Pengadil FIFA menjelaskan, adalah tidak wajar untuk Ahli Lembaga Pengarah MFL memberikan kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan memandangkan keputusan pengadil pada perlawanan itu adalah muktamad.
“Keputusan telah dibuat dan mengikut peraturan yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia 2021. Jadi, saya fikir MFL telah melaksanakan tugas sebagai pengendali Liga Malaysia.
“Setiap keputusan dibuat jelas dirujuk kepada perkara-perkara dalam peraturan pertandingan, Manual liga.
“Saya tidak fikir MFL berat sebelah dan seperti saya katakan tadi, mana-mana organisasi akan merujuk kepada perlembagaan mereka dan dalam kes ini sudah pasti MFL akan menggunakan Manual Liga Malaysia bagi menilai setiap kes yang berlaku.
“Sejujurnya saya belum pernah berdepan situasi seperti ini tetapi secara peribadi kebiasaannya keputusan pengadil di dalam perlawanan adalah muktamad dan perkara bantahan adalah satu perkara yang berlainan,” katanya.
Terdahulu, MFL mengesahkan pihaknya telah menerima surat bantahan daripada Negeri Sembilan bertarikh 30 Ogos lalu selepas pasukan itu meminta MFL menggunakan Artikel 2.1.3, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2021 untuk menilai kesalahan yang dilakukan Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana pada 27 Ogos.
Dalam perlawanan itu, Kelantan FC dilaporkan telah melakukan pertukaran pemain kelima dengan menggunakan peluang keempat pada minit ke 90+2, tambahan masa separuh masa kedua.
Bagaimanapun, ramai pihak turut mempersoalkan kenapa pegawai perlawanan memberikan kebenaran kepada pasukan itu untuk melakukan pertukaran, sekali gus menyeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas.