Sakit hati sungguh Poklip dan rakan-rakan media lain dengan dakwaan seniwati kita, Fauziah Nawi kononnya ada produser dan pelakon yang tetap bekerja walaupun belum divaksin. Eh mana boleh!
Bukan kita mahu menidakkan rezeki atau memaksa mereka untuk ambil vaksin, sementelah itu adalah hak masing-masing. Cuma janganlah kerana anda-anda semua yang degil, ramai anak seni lain terpaksa menanggung derita.
Bila kerajaan benarkan industri seni kreatif beroperasi semula, ribuan penggiat industri menarik nafas lega. Ada ruang untuk mereka tambah pendapatan. Walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tidak mengapa.
Kerana apa? Kerana ada antara mereka yang betul-betul terdesak. Nak beli lampin anak pun perlu merayu dan meminta. Tak kasihan ke? Jadi tolong jangan pentingkan diri sendiri. Tak mahu vaksin? Terpulang.
Cuma duduk sahaja di rumah dan nikmati kehidupan anda. Kita tidak boleh memaksa sesiapa cuma belajarlah memahami dan menghormati pendapat orang lain juga. Tak perlu dabik dada konon ada ‘kabel’ besar.
Pihak produser dan pelakon lain juga, tolong telus dalam bekerja. Jika ada rakan artis yang melanggar SOP, bersuara. Jangan simpan dalam. Itu tak mendatangkan apa-apa kebaikan pun.
Mana yang buruk kita tegur. Mana yang baik kita raikan. Tidaklah niat kita untuk menjatuhkan sebaliknya, industri ini perlu kembali ‘bekerja’ demi kelangsungan hidup ramai pihak. Faham?