GEORGETOWN: Usaha menghijaukan negara menerusi seruan menanam pokok termasuk Kempen Penanaman 100 Juta Pokok tidak memadai jika aktiviti penebangan hutan dibenarkan berlanjutan.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, kempen tersebut seharusnya menerima pakai pendekatan serampang dua mata iaitu meningkatkan penanaman pokok daripada spesies yang betul dan dalam masa sama mencegah penebangan hutan.
Katanya, dalam menangani punca utama penebangan hutan, kerajaan mesti memastikan negeri masing-masing bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti penebangan hutan sama ada yang dilakukan secara sah atau haram.
“Objektif penanaman pokok juga akan gagal jika negeri dibenar menyahwartakan hutan simpan atau membenarkan pokok ditebang dengan pemantauan yang sedikit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Malaysia pada hujung tahun lalu menggerakkan usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan selama lima tahun bermula tahun depan hingga 2025.
Diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri, kempen itu membabitkan usaha menggerakkan masyarakat untuk bersama-sama kerajaan menanam pokok bagi mencapai sasaran itu.
Menurut Mohideen, ketika ini di bawah Akta Perhutanan Negara, sebarang hasil dari kawasan hutan kekal atau tanah negeri lain dianggap harta negeri tetapi hasil mungkin hanya boleh dikeluarkan dengan lesen yang betul.
Sehubungan itu jelasnya, antara langkah yang boleh diambil Kerajaan Persekutuan untuk mengawal penebangan hutan ialah dengan menetapkan syarat mengenai bantuan kepada kerajaan negeri berkenaan.
Tegas beliau, undang-undang berkaitan perhutanan dan alam sekitar mestilah diperketat dengan memastikan terdapat semak dan imbang untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.
“Ini kerana Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri hanyalah penjaga aset tanah dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE