Keluarga Altantuya boleh akses kenyataan individu yang dirakam polis ketika siasatan kes pembunuhannya - Utusan Malaysia

Keluarga Altantuya boleh akses kenyataan individu yang dirakam polis ketika siasatan kes pembunuhannya

Altantuya Shaariibuu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keluarga Altantuya Shaariibuu hari ini dibenar oleh Mahkamah Rayuan mendapatkan kenyataan individu-individu yang dirakam oleh polis dalam siasatan kes pembunuhan model Mongolia itu untuk digunakan dalam saman sivil.

Saman itu difailkan 14 tahun lalu oleh bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev, isteri dan cucu lelakinya terhadap Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM100 juta.

Dokumen itu melibatkan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah daripada semua individu yang membantu siasatan polis pada 2006 sama ada mereka dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan atau sebaliknya.

Percakapan itu termasuk yang direkodkan daripada Azilah (bekas Cif Inspektor), Sirul Azhar (bekas Koperal) dan Abdul Razak yang merupakan defendan-defendan dalam tuntutan saman tersebut.

Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya selepas membenarkan rayuan keluarga Altantuya, tanpa kos.

Mahkamah turut memerintahkan salinan kenyataan itu diberikan kepada keluarga model berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sangeet Kaur Deo mewakili keluarga Altantuya manakala Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali hadir bagi pihak responden-responden.

Hakim Nor Bee ketika membacakan keputusan tersebut berpuas hati, rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 itu adalah relevan dan material serta merupakan isu pokok yang dibangkitkan dalam tuntutan saman perayu-perayu.

Ujarnya, panel itu berpuas hati dokumen yang dipohon itu bukan bermaksud untuk mencari maklumat tertentu (fishing expedition), sebaliknya kandungan di dalamnya boleh membantu kes saman perayu dilupuskan secara saksama.

Dalam keputusan itu, mahkamah bersetuju dengan perayu-perayu bahawa kenyataan polis bukan dokumen yang dilindungi berdasarkan penghakiman kes-kes terdahulu.

Hakim Nor Bee menyatakan, pada hemat panel itu responden-responden gagal menunjukkan bahawa pendedahan terhadap dokumen tersebut akan menimbulkan prejudis kepada kepentingan awam.

Ujarnya, walaupun panel itu bersetuju dengan polisi awam bahawa penyerahan rakaman percakapan kepada pihak pembelaan dikhuatiri akan menyebabkan saksi-saksi diganggu, mahkamah berpendapat hal demikian tidak berlaku dalam kes perayu-perayu.

Menurut beliau, kes jenayah terhadap ketiga-tiga responden telah lama diputuskan.

Sehubungan itu, panel tersebut mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 22 Julai tahun lalu yang menolak permohonan mereka selepas berpuas hati rayuan itu mempunyai merit.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Rayuan), memutuskan kenyataan itu telah diambil secara rahsia bagi tujuan perbicaraan jenayah dan pendedahannya boleh memudaratkan sebarang siasatan lanjut pada masa akan datang.

Mahkamah Tinggi berpuas hati permohonan tersebut tidak relevan kerana maklumat yang dicari oleh keluarga Altantuya boleh diperoleh daripada nota prosiding.

Dr. Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dibuang selepas dia meninggal dunia pada 2017.

Setakat ini, 10 saksi daripada keluarga Altantuya sudah memberi keterangan dalam kes berkenaan yang bermula pada Januari 2019.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar membunuh Altantuya, 28, pada 2006 namun beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 susulan rayuan pendakwaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN