Keladi topeng firaun jadi rebutan golongan ‘kayangan’ - Utusan Malaysia

Keladi topeng firaun jadi rebutan golongan ‘kayangan’

KELADI jenis topeng firaun dijual sehingga RM2,000 sepokok di nurseri diusahakan Siti Rogayah Mat Deris di Felda Teratai Jengka 21 di Kuala Krau, Pahang. – MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU: Siapa sangka spe­sies keladi pelbagai warna dan corak menjadi rebutan penggemar ‘golongan kayangan’ untuk dijadikan taman mini dan dekorasi ruang tamu serta terapi minda keluarga.

Ia diakui pe­ngusaha nurseri dari Felda Teratai Jengka 21 di sini, Siti Rogayah Mat Deris, 53, yang menanam 15 jenis spesies keladi dan mendapat sambutan peminat bunga hiasan dari seluruh negara.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Siti Rogayah berkata, spesies keladi paling popular ialah jenis Colocasia Pharaoh Mask (topeng firaun) dijual RM800 bagi anak benih dan RM2,000 untuk pokok dewasa.

“Dedaun topeng firaun berwarna ungu dan berurat, tetapi, sangat cantik dan tahan lama mendapat permintaan tinggi peminat.

KELADI jenis topeng firaun dijual sehingga RM2,000 sepokok di nurseri diusahakan Siti Rogayah Mat Deris di Felda Teratai Jengka 21 di Kuala Krau, Pahang. – MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD

“Jenis keladi kedua popular ialah mojito dengan jualan anak pokok RM500 dan dewasa mencecah sehingga RM1,500,” katanya di sini semalam.

Siti Rogayah berkata, keladi lain yang juga mendapat permintaan tinggi penggemarnya ialah daripada jenis white lava, yellow splash, tropical storm, hawaiian punch, lemonade, conna coffee, midori sour, lime gecko, nancy, tiger stripe dan black coral.

Menurutnya, bunga keladi yang dinyatakan itu sedang tular di pentas maya dan dianggap bunga hiasan golongan ‘kaya­ngan’ dan penggemar tegar.

Beliau berkata, satu lagi jenis keladi yang mendapat permintaan tinggi penggemarnya ialah keladi albino yang bertompok-tompok putih.

“Sebenarnya terdapat lebih 50 jenis spesies keladi di negara ini tetapi hanya 20 jenis sahaja sesuai dijadikan bunga hiasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau me­ngakui jualan pelbagai jenis keladi dan lain-lain pokok bunga di nurserinya mampu memperoleh pendapatan bulanan mencecah lebih RM10,000 sebelum pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun pendapatan hasil jualan bunga-bunga pada musim pandemik Covid-19 sekitar RM6,000 kerana peminat bunga tetap datang mencari ke rumah dan menempah secara dalam talian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya