PUTRAJAYA: Kapal peronda misi pesisir (LMS) terbaharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Kelas Kris secara rasmi semalam dinamakan sebagai Badik.
Upacara penamaan kapal ketiga itu disempurnakan isteri Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Beijing, China, Rohana Osman sesuai dengan tradisi tentera laut seluruh dunia.
Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik TLDM, program itu berlangsung di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wuchang, Qidong, bandar raya Nantong, Wilayah Jiangsu.
“Penamaan Badik bersempena nama sebuah kapal ronda sebelum ini yang dilucut tauliah pada 2005 untuk diserah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.
Penggunaan semula nama itu yang merupakan sejenis alat senjata tradisional masyarakat Melayu, melambangkan simbol semangat kepahlawanan dan keberanian pahlawan dahulu.
Kenyataan tersebut memaklumkan, senjata bilah tajam ditempa daripada besi itu juga memberi inspirasi kekuatan perjuangan perwira dalam menentang dan menangkis serangan musuh.
LMS Badik yang dijangka tiba di perairan Malaysia hujung bulan ini, bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 berpusat di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Pasukan di Markas Wilayah Laut 2 itu ketika ini sudah mempunyai dua kapal LMS iaitu KD Keris dan KD Sundang yang masing-masing beroperasi awal tahun lalu dan Januari lepas.
Kapal LMS terkini itu dibina pada 2019 sebelum dilancarkan ke permukaan air sejak akhir Oktober tahun lepas di Wuhan, Wilayah Hubei, China oleh Pasukan Projek LMS TLDM.
“Setelah selesai ujian, kapal ini diserah secara rasmi kepada kerajaan Malaysia oleh firma China Shipbuilding and Offshore International Company Limited pada Selasa lalu,” jelasnya.
Seramai tujuh pegawai dan 38 anggota dipilih TLDM sebagai petugas pertama kapal moden tersebut dengan mereka menjalani latihan intensif selama lima bulan di China.
LMS adalah antara lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada dengan kontrak dimeterai Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. pada 2017 lalu.
Dengan jarak panjang 69 meter dan berat 700 tan, kapal itu mampu memecut 24 knot selain berkeupayaan di perairan selama 15 hari serta dilengkapi dua bot ringan berkuasa tinggi.
Sementara itu, kapal LMS terakhir yang bakal dikenali sebagai KD Rencong dengan angka badan 114 pula, dijadual dapat diserahkan kepada TLDM pada ghujung tahun ini. – UTUSAN ONLINE