Kawasan tanah runtuh Kemensah Heights masih zon bahaya - Utusan Malaysia

Kawasan tanah runtuh Kemensah Heights masih zon bahaya

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kawasan tanah runtuh di Kemensah Heights di Ulu Kelang, Ampang yang melibatkan tiga banglo dan 19 rumah bandar dilaporkan masih berbahaya berikutan terdapat pergerakan tanah.

Oleh demikian, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih menandakan kawasan yang menempatkan 28 keluarga itu sebagai Zon bahaya dan kerja-kerja penstabilan cerun masih diteruskan dan dijangka memakan masa sehingga tiga bulan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari apabila Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) mendengar taklimat daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta jabatan berkaitan.

Menurut beliau, kerja-kerja penstabilan cerun dijangka menelan belanja sebanyak RM6 juta, sementara pengukuhan tebing Sungai Kemensah yang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor pula melibatkan anggaran kos RM 1 juta.

“Kerja-kerja pemantauan pergerakan tanah akan terus dilaksanakan sehingga tiada lagi pergerakan tanah dikesan.

“Untuk makluman, tindakan segera melalui pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih aliran Sungai Kemensah dan lain-lain kerja berkaitan telah selesai dilaksanakan pada 19 September 2021 dengan kos RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

18 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian tanah runtuh di melibatkan kediaman di rumah bandar dan tiga unit banglo di Jalan 7, Kemensah Heights dilaporkan berlaku pada malam 17 September pukul 9.30.

Susulan kejadian itu dilaporkan sebanyak 27 keluarga diarahkan meninggalkan kediaman masing-masing untuk keselamatan.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan, peruntukan RM10 juta diberikan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaiktaraf Sungai Kemensah bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang.

“Proses pengukuhan tebing dan cerun melalui pembinaan tembok penahan kekal dianggarkan memakan belanja sebanyak RM 6 juta. Pegawai Daerah Gombak selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah akan memudahcara bersama pemilik lot unit kediaman banglo terlibat untuk memuktamadkan pengendalian kos pengukuhan ini.

“Di kesempatan ini, kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Menteri KASA. Semoga dengan usaha bersama Kerajaan Persekutuan-kerajaan negeri akan menyempurnakan penyelesaian kepada masalah tanah runtuh ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya