Kapal dagang bersauh secara haram berleluasa - Utusan Malaysia

Kapal dagang bersauh secara haram berleluasa

KAPAL tangki berdaftar di Mongolia yang ditahan kerana disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur di Tanjung Siang di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pelanggaran undang-undang perairan negara melibatkan kapal-kapal dagang yang bersauh secara haram atau tanpa kebenaran Jabatan Laut terus berleluasa di perairan Johor Timur, di sini.

Nakhoda kapal-kapal berkenaan seolah-olah tidak menghiraukan peraturan yang digariskan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 walaupun beberapa buah kapal terutama yang berdaftar di negara asing ditahan pihak berkuasa sebelum ini.

Menerusi statistik terkini yang diberikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, sebanyak 93 buah kapal dagang ditahan sejak awal tahun ini termasuk terbaharu melibatkan dua kapal tangki asing, petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal itu ditahan di kedudukan 17 batu nautika timur laut Tanjung Siang, kira-kira pukul 5 petang.

“Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Mongolia dikendalikan tujuh kru warga Indonesia dan Singapura yang berusia 23 tahun hingga 55 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Kapal tangki kedua pula berdaftar dari Equatorial Guinea dengan sembilan kru warga Indonesia berusia 23 tahun hingga 59 tahun juga mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nurul Hizam, meskipun aktiviti kapal asing bersauh tanpa kebenaran sering dilaporkan, namun sejak Operasi Jangkar Haram dilaksanakan pada Mac lalu, jumlah kapal yang bersauh secara haram terutama di Tompok Utara didapati telah berkurangan.

“Sehingga kini bagi tahun 2021, sebanyak 93 buah kapal telah ditahan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri Johor.

“Penurunan jumlah ini menunjukkan pemilik syarikat perkapalan, ejen kapal dan nakhoda telah mulai akur dan patuh terhadap penguatkuasaan undang-undang negara ini. 

“Maritim Malaysia akan terus melaksanakan penguatkuasaan di perairan negara tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara,” katanya.

Kata Nurul Hizam, sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 491B(1)(L) ordinan berkenaan, pihak kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya