KUALA LUMPUR : Pelakon dan penerbit terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor, 55, menggesa mana-mana artis yang belum mendapatkan suntikan lengkap vaksin termasuk golongan anti vaksin supaya sedar ruang dan menolak tawaran berlakon.
Menurut Rosyam, kesedaran itu perlu wujud daripada diri sendiri bagi mengelak daripada merisikokan pihak lain hanya kerana kedegilan sendiri.
“Seluruh rakyat berdepan masalah kehidupan dan ekonomi sepanjang pandemik, jadi apabila peluang dibuka diharapkan kita semua penggiat seni ini boleh patuhlah.
“Jika seseorang pelakon itu ialah golongan anti vaksin atau belum lengkap vaksin, sepatutnya mereka sendirilah yang ambil keputusan untuk menolak atau menarik diri sekiranya ditawarkan berlakon,”katanya.
Rosyam ditemui pada sidang media maya pelancaran wajah baharu TV9 pada Khamis lalu.
Dalam pada itu, tegas Rosyam, tanggungjawab itu perlu ada pada pelakon atau artis sedemikian agar tidak menyusahkan pihak lain yang ingin mencari pendapatan apabila sektor industri kreatif dibuka sepenuhnya dan mula bernafas.
“Semua orang nak bekerja kalau dia rasa tak nak vaksin, kita tak marah pun tapi jangan menyusahkan orang lain yang nak bekerja,” katanya.
Kelmarin, pelakon veteran Fauziah Nawi menyatakan kekesalan terhadap sikap degil dan mementingkan diri sendiri segelintir penerbit yang mengambil pelakon anti vaksin untuk berlakon.
Perkara itu dikhuatiri mampu memberi risiko kepada industri seni sekiranya kebenaran untuk bekerja ditarik balik.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sebuah kenyataan pada Selasa memaklumkan semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 9 September 2021.