KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Wahab tampil memberikan suntikan semangat buat penyanyi Aishah yang kini sedang dirawat di Hospital Ampang kerana jangkitan Covid-19 sejak Isnin lalu.
Nourul yang juga merupakan ibu kepada empat orang cahaya mata itu berkata, Aishah perlu kuat demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan isteri.
“Semuanya akan baik-baik saja akak. Akak hanya ada satu saja pilihan, iaitu kena kuat, kalau akak tahu tanggungjawab akak belum selesai. Kuatkan diri itu sajalah pilihan yang ada.
“Ya doa, ramai mendoakan. Tapi akak kena ingatkan diri akak, bukan hari ini, esok. Akan akan sihat dan kuat, tubuh akak kuat. Mereka (yang mendoakan) adalah pejuang dan melawan untuk akak. Insya-Allah Allah mendengar dan memakbulkan segala doa,” luah Nourul di ruangan komen Aishah.
Nourul berkata demikian selepas penyanyi lagu Pulanglah itu memuat naik status memohon doakan agar tidak ditidurkan dan meluahkan rasa kebimbangan terhadap keadaan kesihatannya, malah khuatir akan tanggungjawab kepada keluarganya.
Terdahulu, Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 56, dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta.
Aishah kemudian dikejarkan ke hospital berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus. Semalam, tahap oksigen penyanyi ini yang sebelum ini stabil turun mendadak selepas tiub pernafasannya ditanggalkan.