Kaji semula kaedah pemberian subsidi, laksana penyahpusatan pertanian - Utusan Malaysia

Kaji semula kaedah pemberian subsidi, laksana penyahpusatan pertanian

PETANI yang terlibat dalam ekonomi skala dengan kos dan pengeluaran yang lebih tinggi terkesan lebih teruk sepanjang pandemik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaedah pemberian subsidi dalam sektor pertanian di negara ini perlu dikaji semula supaya ketirisan subsidi dapat ditangani dan pemberian subsidi dapat benar-benar membantu golongan petani.

Penyelaras Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kos untuk bertani dapat dikurangkan dengan signifikan sekali gus memajukan sektor pertanian.

Kata beliau, kos bertani ketika ini naik mendadak disebabkan pandemik, terutamanya dari segi kos input pertanian seperti benih, alat ganti jentera termasuk bahan kimia seperti racun yang digunakan dalam pertanian konvensional.

“Kos-kos input pertanian ini naik dengan mendadak sehingga melebihi 50 peratus disebabkan pandemik. Jadi sepatutnya, kerajaan fikirkan bagaimana mahu kurangkan kos-kos ini.

“Kita tahu subsidi pertanian dalam pertanian memang cukup banyak, sehingga berbilion ringgit tetapi ketirisan subsidi melalui vendor dan pelbagai skim sangat tinggi. Jadi kerajaan perlu kaji semula kaedah pemberian subsidi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Nurfitri Amir turut menekankan keperluan untuk kerajaan mengkaji semula usaha pemusatan dalam sektor pertanian melalui kaedah ekonomi skala.

Jelas beliau, ekonomi skala yang mengurangkan kos pertanian melalui peningkatan tahap pengeluaran memberikan risiko yang lebih tinggi kepada petani apabila berhadapan dengan krisis, seperti yang berlaku dalam keadaan pandemik ketika ini.

Beliau mendapati, petani yang terlibat dengan projek ekonomi skala melibatkan estet-estet dan kerjasama awam-swasta mengalami kerugian yang lebih besar ketika pandemik.

“Mereka yang telah mengehadkan rantaian bekalan seperti input, pasaran dan sebagainya ke dalam ruang lingkup tempatan (yang lebih kecil) baik dalam negeri atau dalam negara sahaja, kita dapati mereka tidak terkesan terlalu banyak.

“Ini kerana mereka boleh mengurangkan kos dan sekatan-sekatan seperti larangan rentas negeri atau (kesukaran) eksport boleh diatasi melalui sistem penyahpusatan (decentralization).

“Ini yang perlu kita laksanakan pada masa hadapan jika kita mahu sektor pertanian lebih kalis kepada krisis, dengan penyahpusatan,” katanya.

Nurfitiri Amir turut meminta kerajaan untuk menumpukan kepada usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada import, terutamanya sektor makanan; menjadi perintis pengeluaran input pertanian seperti makanan ternakan dan jentera serta meneliti perjanjian perdagangan bebas antarabangsa yang dilihat merugikan sektor pertanian tempatan.

Ini termasuk perjanjian yang sedang dalam proses ratifikasi oleh kerajaan seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya