Jurujual diancam kurier misteri, simbah asid - Utusan Malaysia

Jurujual diancam kurier misteri, simbah asid

BUNGKUSAN potongan tangan yang berlumuran cecair berwarna merah seperti darah diterima seorang wanita jurujual menerusi perkhidmatan kurier di kediamannya di Kampung Saim, Meru di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hidup seorang jurujual kedai emas terancam selepas menerima satu bungkusan kotak misteri beserta nota ugutan mahu menyimbah mukanya dengan asid, Isnin lalu.

Selain objek berbentuk tangan dengan kesan cecair berwarna merah, suspek mengugut mahu mencederakan wanita berusia 29 tahun itu dan keluarganya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd. Khairi Shafie berkata, bungkusan menerusi kurier itu diterima mangsa di rumahnya di Jalan Kampung Saim di sini, kira-kira pukul 6.30 petang.

Katanya, bungkusan hitam itu mengandungi satu nota ugutan daripada individu misteri tersebut.

“Nota itu antaranya bertulis ‘Ko ingat ko melalak macam a***g tu best sangat ke s*l. Klu aku nmpak ko melalak lg asid sampai kat muka ko dgn kawan2 ko sekali’.

“Selain itu, suspek mengugut mahu membakar rumah ibu bapa mangsa dan mesej akan mencederakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Khairi, wanita itu mendakwa kotak kurier turut terdapat objek tangan dengan kesan cecair.

“Selain itu, mangsa keesokkan harinya (kelmarin) menerima pesanan WhatsApp berbaur lucah dan ugutan dari nombor tidak dikenali.

“Bimbang keselamatan dirinya, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah memanggil wanita itu untuk direkodkan keterangan sekali gus membantu siasatan.

“Polis juga sedang berusaha mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Khairi meminta orang ramai supaya menghentikan perbuatan tidak bermoral seumpamanya yang menyalahi undang-undang dan menimbulkan kegusaran awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya