KEPALA BATAS: Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) berpuas hati dengan perjalanan program vaksinasi yang melibatkan pelajar sekolah di negeri ini yang bermula 22 September lalu.
Enggan mendedahkan jumlah pelajar yang telah divaksin di Pulau Pinang hingga ke hari ini, Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad bagaimanapun berkata, segala-galanya berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Apa yang boleh saya katakan ialah kita sememangnya berada pada landasan yang tepat (program vaksinasi remaja dan pelajar sekolah).
“Dalam hal ini, bukan sahaja pelajar, tapi semua guru, kakitangan sekolah, pemandu (bas sekolah), pengusaha kantin dan lain-lain juga kita akan pastikan mereka telah menerima vaksin dan ada komitmen untuk mendapatkan vaksin tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Abdul Rashid, ketika ini Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi untuk golongan remaja dan pelajar sekolah telah ditambah kepada 10 buah berbanding hanya enam PPV sebelum ini.
“Insya-Allah, bermulanya sesi persekolahan di sini (Pulau Pinang) pada 4 hari bulan (Isnin depan), segala-segalanya akan berjalan mengikut perancangan.
“Nasihat saya kepada ibu bapa jangan biarkan anak-anak mereka berkumpul bersama rakan-rakan dan sentiasa menjaga diri,” katanya.
Berdasarkan data yang dikongsikan Jabatan Kesihatan negeri sehingga kelmarin, seramai 32,420 remaja khususnya yang berusia 16 dan 17 tahun telah menerima dos pertama dan 714 lagi telah menerima dos kedua masing-masing.
Sementara itu, program vaksinasi untuk remaja berusia 12 hingga 15 tahun di negeri ini baru dimulakan semalam. – UTUSAN