JKKP siasat kes pekerja maut terjatuh bumbung - Utusan Malaysia

JKKP siasat kes pekerja maut terjatuh bumbung

KILANG tempat seorang lelaki maut selepas terjatuh dari bumbung di Taman Perindustrian Bukit Raja, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyiasat kes seorang pekerja yang maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang di Taman Perindustrian Bukit Raja di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, lelaki tempatan berusia 22 tahun berkenaan yang juga pekerja am dipercayai sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung di kilang tersebut.

Pengarah JKKP Selangor, Bahrudin Mamat berkata, mangsa bersama tiga rakannya memakai semua kelengkapan keselamatan yang disediakan pemilik premis.

Katanya, ketika kejadian seorang daripada mereka dikatakan bergerak ke arah penyelia projek untuk mengambil bumbung.

“Sewaktu giliran mangsa untuk bergerak, dia yang membuka kelengkapan cangkuk khas bagaimanapun terpijak bumbung rapuh lalu terjatuh setinggi 12 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Bahrudin, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, menurutnya, JKKP Selangor mengarahkan sepasukan pegawai untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian tersebut.

“Kita sudah mengeluarkan satu Notis Larangan bagi menghentikan aktiviti kerja membaik pulih bumbung secara serta-merta kepada kilang berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan itu,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati wujud pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab dalam mengenalpasti bahaya, membuat penilaian dan kawalan risiko yang berkesan,” katanya.

Bahrudin berkata, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya