KLUANG: Tindakan pantas orang awam yang menelefon polis selepas curiga dengan kehadiran dua lelaki di bumbung rumah jirannya membongkar kegiatan jenayah pecah rumah dalam kejadian di Impiana Bayu, Taman Seri Impian di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Mangsa, Lim Chek Chai, 61, berkata, ketika kejadian dia berada di Taman Rekamas Simpang Renggam dan kira-kira pukul 11.30 pagi menerima panggilan telefon daripada jiran berhadapan rumahnya yang bertanyakan mengenai gelagat suspek.
“Jiran juga bertindak menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian dan saya terus bergegas pulang ke rumah milik anak saya. Sebaik sahaja sampai saya dimaklumkan oleh polis, masih terdapat penjenayah yang berada di dalam rumah.
“Selepas saya membuka pintu utama rumah, salah seorang suspek sudah memegang kayu dan meluru ke arah saya. Akibatnya saya terjatuh selepas dirempuh mereka yang cuba melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Chek Chai yang juga seorang peniaga berkata, rumah berkenaan adalah milik anaknya yang bekerja di Singapura dan dia selalu datang untuk membersihkannya.
“Ketika kejadian tidak ada sesiapa di rumah dan saya memang trauma dengan kejadian ini serta berharap suspek dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an positif dadah Meth hasil ujian saringan air kencing selain mempunyai rekod jenayah lampau.
“Pada pukul 11.55 pagi, anggota MPV Zon 2 Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah menerima arahan dari Pusat Kawalan Daerah Kluang memaklumkan aduan pecah rumah di Taman Seri Impian, Kluang.
“Bertindak atas aduan tersebut, anggota MPV dengan bantuan orang awam menahan dua lelaki tempatan dan merampas sebuah motosikal Jenis Yamaha Ego, dua pemutar skru, dua pemotong dawai dan tangga boleh laras.
“Tangkapan direman hingga Khamis ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat belas tahun dan juga denda jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE