JAKARTA: Kesedihan pelakon cantik, Jessica Iskandar yang sebelum ini gagal dalam percintaan terubat apabila dia dilamar kekasih yang juga rakan baik, Vincent Verhaag.
Lapor portal Liputan6, momen indah berkenaan diabadikan pelakon filem Istri Bo’ongan itu menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di Instagramnya, baru-baru ini.
Vincent, di dalam gambar tersebut dirakam sedang melutut di hadapan Jessica sambil menunjukkan sebentuk cincin kepadanya.
“Saya katakan ya! Terima kasih tuhan sudah kirim seseorang seperti @v.andrianto ke dalam hidup kami.
“Aku percaya Tuhan punya rancangan indah untuk hidupku dan @alexanderbarackel bersamamu. Saya cinta kamu, Vincent Verhaag,” tulisnya.
Jessica sebelum ini menjalinkan hubungan dengan pelakon dan model, Richard Kyle. Namun, jodoh antara mereka tidak kesampaian selepas keduanya memutuskan untuk berpisah.
Ibu kepada seorang anak ini nyata bahagia dengan lamaran Vincent. Katanya, kehadiran jejaka tersebut bukan sahaja menceriakan kehidupannya, malah juga anaknya.
“Anda membuatkan saya ingin bercinta lagi! Terima kasih untuk segalanya.
“Aku berharap Tuhan membalasnya dengan berjuta kebahagiaan untukmu! #love,” tulisnya lagi.