JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan misi memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ketiga apabila melayan kunjungan kelab Liga Perdana, Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Pengendalinya, Benjamin Mora berkata, ini merupakan peluang terbaik mereka untuk menambah trofi kejuaraan setelah dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini pada 12 September lalu.
Katanya, berbekalkan momentum kemenangan mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah, JDT berada di landasan terbaik untuk merangkul piala tertua dalam negara itu yang mencecah usia 100 tahun musim ini.
Menjelang saingan Piala Malaysia, Mora memberitahu, pasukan sudah membuat persiapan rapi bagi mempertahankan piala yang dimenangi pada 2019 sebelum ia dibatalkan pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
“Dalam mana-mana pertandingan yang kami sertai, objektif kami hanya satu iaitu muncul juara. Ini adalah peluang terbaik untuk menambah koleksi trofi dalam simpanan kami.
“Pastinya gelaran juara itu bukanlah mudah dikecapi dan untuk itu kami telah mempersiapkan diri dengan memperbaiki kelemahan selain meningkatkan kualiti permainan.
“Pasukan lawan yang bakal kami hadapi pastinya sudah dapat membaca rentak kami dan mencuba sesuatu yang baru bila bersemuka. Jadi, kami perlu sentiasa menambah baik corak permainan dan berkembang sebagai sebuah pasukan,” katanya.
Diundi bersama Petaling Jaya City, Sabah, Kelantan FC bagi Kumpulan D, skuad Harimau Selatan dilihat tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.
Mora berkata, juara dua kali itu mempunyai ramuan untuk bergelar juara dan optimis bahawa JDT mampu memenangi pertandingan itu buat kali ketiga sekiranya segala percaturan yang dilakukan dapat direalisasikan.
“Jika melihat kembali statistik perlawanan JDT pada musim ini, kami lebih dominan daripada pasukan lawan dari setiap aspek baik dari penguasaan bola, mengatur serangan dan percubaan tepat ke arah gol dalam setiap perlawanan.
“Walaupun ada perlawanan kami gagal mengutip tiga mata, kami tetap mempersembahkan gaya permainan yang menarik. Kami tidak pernah akan puas dengan prestasi semasa dan cuba memantapkan kualiti persembahan kami,” ujarnya.