PETALING JAYA: Kuasa baharu bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pilihan untuk muncul juara pada sambutan ke-100 Piala Malaysia yang membuka tirai esok, namun Kedah dan Selangor sekali lagi menjadi pencabar utama kejuaraan.
Biarpun Selangor pasukan terhebat dalam sejarah dengan reputasi sebagai juara 33 kali, namun JDT adalah kelab tempatan terbaik ketika ini selepas menjuarai Liga Super lapan kali berturut-turut, malah mereka turut selaku penyandang gelaran.
Selaku naib juara Liga Super, Kedah juga mampu mencabar kejuaraan, terutama diundi dalam Kumpulan C yang dilihat agak mudah bersama Melaka United, Negeri Sembilan dan pasukan tangga kelima Liga Perdana.
“Dalam saingan seperti ini (Piala Malaysia) semua pasukan akan beraksi dengan lebih baik (berbanding Liga Super, Perdana).
“Kalau kita tengok EPL (Liga Perdana Inggeris) pasukan hebat seperti Manchester United dan Liverpool pun pernah ditewaskan pasukan bawahan, begitu juga JDT, namun sebagai penyokong, kami doakan JDT menang,” kata Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Azman Jalil.