PETALING JAYA: Juara All England Lee Zii Jia menuntut rakan seperjuangannya tidak memikirkan soal tekanan, sebaliknya bermain seperti biasa dan memberi aksi terbaik menjelang saingan Piala Sudirman.
Pada saingan Piala Sudirman kali ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan Zii Jia dan Aaron Chia-Wooi Yik yang memiliki pengalaman di Sukan Olimpik manakala pemain muda lain akan membuat penampilan sulung di pertandingan tersebut.
Zii Jia menyeru pemain muda untuk tidak gentar dengan cabaran yang diberikan dan melalui tekanan ini untuk mendapat pengalaman penting ketika diberi peluang beraksi di kejohanan kompetitif seperti Piala Sudirman.
“Macam saya cakap sebelum ini, tekanan itu pasti ada dan kita tiada pilihan selain perlu menghadapinya. Sudah pasti tanggungjawab saya dan Woi Yik akan berat tetapi kita tetap mengambil cabaran ini untuk melakukan sebaik yang boleh.
“Ketika ini apa yang saya boleh katakan adalah fikir mengenai diri sendiri, sama ada anda boleh kawal tekanan atau pun tidak. Bagi saya perkara itu adalah paling penting kerana saya pernah lalui sebelum ini.
“Dua tahun lalu ketika perlawanan pertama saya pada aksi perseorangan lelaki di Piala Sudirman saya akui agak tekanan. Tetapi, bila anda dapat anda kawal tekanan itu, pasti akan lebih tenang.
“Jadi tak perlu banyak cakap dan anda akan lebih matang malah akan dapat melalui sendiri. Saya faham apa yang mereka rasa ketika ini. Jadi selagi lebih banyak anda cakap, pasti akan lebih ‘blur’,” katanya menerusi perkongsian video, semalam.
Malaysia diundi dalam Kumpulan D Piala Sudirman dan akan bertemu England pada aksi pembukaan hari ini yang dipimpin beregu ranking nombor tujuh dunia dari England, Marcus Ellis-Lauren.