IPOH: Laluan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands di Kilometer 43.9 hingga Kilometer 44 akan ditambah baik dengan membuat penjajaran semula.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Zulkipli Nasri berkata, cadangan penjajaran laluan sepanjang 600 meter itu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya sekaligus kestabilan cerun di laluan berkenaan.
Katanya, peruntukan berjumlah RM130 juta telah disediakan kerajaan bagi pembinaan jajaran baharu itu selain kerja-kerja baik pulih dan pembaikan cerun.
“Kalau kita lihat, cerun itu terlampau rapat (dengan laluan), jadi salah satu cara untuk mengelakkan risiko yang lebih besar, kita akan alihkan laluan itu ke bahagian dalam supaya tidak terlampau rapat dengan cerun yang kritikal.
“Berapa meter ke bahagian dalam bagaimanapun bergantung kepada siasatan pakar.
“Buat masa sekarang, pihak konsesi cerun sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jenis tanah di kawasan itu selain menghasilkan reka bentuk untuk mengukuhkan cerun berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad meninjau lokasi runtuhan jalan sepanjang kira-kira 30 meter, di sini hari ini.
Menurut Zulkipli, pembinaan jajaran baharu itu akan bermula selepas Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada kontraktor terpilih pada pertengahan Disember ini.
Katanya, kerja-kerja pembinaan dan mengukuhkan cerun itu dijangka mengambil masa tiga tahun di mana jangkaan awal siap pada Disember 2024.
“Memang dalam perancangan kita untuk tambah baik cerun tersebut namun disebabkan beberapa faktor termasuk hujan, menyebabkan runtuhan cerun lebih cepat berlaku mendahului perancangan.
“Pembinaan cerun ini apabila dibuat reka bentuk telah mengambil kira semua aspek termasuk untuk menampung beban kenderaan berat,” katanya.
Sementara itu, mengulas sama ada laluan tersebut akan ditutup sepenuhnya untuk laluan semua jenis kenderaan sepanjang tempoh pembaikan, beliau berkata, perbincangan akan dilakukan untuk menambah baik jalan sementara di lokasi kejadian bagi kegunaan kenderaan ringan.
“Saya lihat tepi ini ada jalan sementara semasa kerja-kerja pembaikan cerun sebelum ini. Jadi kita akan gunakan jalan tersebut dan buat penambahbaikan untuk buka kepada kenderaan ringan.
“Kita akan membuat siasatan lanjut dan perbincangan dengan Cawangan Cerun untuk lihat bagaimana metodologi yang akan digunakan.
“Kita cuba beri khidmat kepada pengguna jalan raya khususnya aktiviti ekonomi dan pelancongan yang baharu dibuka, sekurang-kurangnya kenderaan ringan dibenarkan untuk guna jalan ini,” katanya. – UTUSAN