LUMUT: Jalan utama menghubungkan Pasir Bogak ke Teluk Nipah di Pulau Pangkor yang ditutup sejak 11 bulan lalu akibat tanah runtuh, kini sudah boleh digunakan kembali.
Jalan di kawasan Teluk Ketapang sepanjang kira-kira 200 meter telah dibuka dan digunakan pengguna kenderaan mulai 24 September lalu.
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Manjung, L. Ramendra berkata, pihaknya melakukan kerja-kerja pembaikan bermula Februari lalu dan siap sepenuhnya awal bulan ini.
“Kerja-kerja dilakukan melibatkan membaiki cerun, memperkukuh tapak cerun, membina tembok penahan, membina tapak untuk paip air, membaiki jalan raya serta membina longkang dan pagar.
“Lembaga Air Perak (LAP) juga telah membina paip air di laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ramendra, JKR mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Perak yang cepat meluluskan peruntukan bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dan pembaikan dapat dilakukan dengan segera.
Beliau berkata, walaupun Pulau Pangkor berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), kerja-kerja pembinaan dan pembaikan terus berjalan lancar.
Hujan lebat berterusan pada 4 November tahun lalu menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh di laluan berbukit itu menyebabkan orang ramai dari arah Pasir Bogak dan pekan Pangkor terpaksa melalui laluan jauh mengelilingi pulau tersebut jika mahu ke Teluk Nipah. – UTUSAN