Izzmad Harun enggan putus asa - Utusan Malaysia

Izzmad Harun enggan putus asa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun berdepan pengalaman ditipu dengan pemain industri muzik, ia tidak cukup untuk mematahkan semangat dan membuat Mohammad Hazwan Harun berputus asa.

Pendatang baharu yang lebih mesra dipanggil Izzmad Harun itu berkata, dia pernah ditipu semasa ingin mengeluarkan single perdananya yang bertajuk Cinta Di Hujung Dedaun.

“Bayaran yang dikenakan waktu itu terlalu mahal dan tidak masuk akal, namun waktu itu saya ghairah ingin mengeluarkan lagu tersebut jadi saya turutkan sahaja permintaan dia.

“Mungkin saya masih baru dan tidak berpengalaman, jadi dia menipu saya bab duit.

“Daripada pengalaman pahit itu juga, saya banyak belajar untuk tidak mudah percaya dengan orang serta sentiasa membuat kajian dan bertanya terlebih dahulu sebelum ingin mengeluarkan wang yang banyak,” katanya kepada Pancaindera.

Menurut Izzmad, dia memulakan perjalanannya dalam industri seni ini pada 2014 dengan menyertai pertandingan Kombo Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak.

Pada tahun sama juga, dia mengeluarkan album mini berjudul Sahabatku. Namun, dia akui album tersebut kurang mendapat sambutan mungkin kerana penyampaiannya yang kurang memuaskan dari segi vokal.

“Sejak itu, saya semakin matang dan sering memperbaiki diri untuk menghasilkan karya-karya yang lebih menarik.

“Pada 2015, saya ditawarkan oleh seorang komposer untuk menyanyikan lagu Bulan Bintang untuk dijadikan sebagai runut bunyi (OST) drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin.

“Walaupun saya artis bebas (independent), tetapi telah banyak berkolaborasi dengan syarikat rakaman seperti Life Records Malaysia, MVM Production dan Warner Music Malaysia untuk mengeluarkan lagu,” jelas anak kelahiran Perak itu.

Selain menyanyi, pada 2016, Izzmad mula bergiat dalam bidang lakonan pula. Seperti semua pendatang baharu, langkahnya bermula dari bawah dengan menjadi pelakon tambahan.

Antara drama dan telemovie yang pernah dilakonkan Izzmad adalah Resort Bunga Raya, Kifarah Buta, Sembilu Dosa, Hassan, Isteri Untuk Abang Long, Jangan Ambil Botol itu dan yang terbaharu Malaysia Ghost Stories: Episod Nenek Kebayan.

Walaupun jejaka berusia 26 tahun ini aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan, dia akui fokus utamanya adalah untuk menjadi seorang penyanyi.

“Cita-cita saya memang ingin menjadi seorang penyanyi tapi zaman sekarang ini lebih baik jangan pilih satu pekerjaan sahaja.

“Kalau boleh dua-dua akan saya usahakan bagi memantapkan kemahiran dan meluaskan pengalaman,” jelas anak ketiga daripada empat beradik itu.

Setakat ini, katanya, dia sudah memiliki kira-kira 10 lagu antaranya, Selalu Di Jiwa, Bisa Pertama, Saat Kau Jatuh dan Nilai Kasih. Perkembangan seni Izzmad boleh diikuti dalam laman YouTube dan Instagramnya iaitu izzmadharun.

Diharapkan, lebih ramai pemain industri dapat memberikannya peluang untuk mengasah dan menggilap bakatnya dalam industri seni tanah air ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya