KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Che Ta enggan bekerjasama dengan pelakon yang belum menerima atau lengkap dua dos vaksinasi.
Mengulas dakwaan segelintir produksi bertindak membenarkan penggiat seni tanpa vaksinasi bekerja, Che Ta atau nama lengkapnya, Rozita Che Wan berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengundang padah.
“Orang macam itu tidak bertanggungjawab. Kena ikut peraturan yang telah ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Kalau Finas tahu, lesen boleh ditarik semula.
“Jangan kerana tidak mahu vaksin, awak melibatkan orang lain pula. Kena bertanggungjawab dan adil. Saya tidak mahu ambil risiko, di rumah ada anak kecil,” katanya dalam nada tegas.
Sebagai seorang pemilik produksi Padusi Pictures, dia juga amat menitikberatkan soal vaksin dalam kalangan kru dan pelakon bagi memastikan penularan wabak berbahaya dapat dibendung.
Che Ta berkata demikian pada majlis lantikan sebagai duta Himaya yang turut menjalinkan kerjasama bersama Majlis Kanser Nasional (Makna) hari ini.
Mengulas berhubung lantikan itu, Che Ta bersyukur dan berharap orang ramai ambil serius prosedur operasi standard (SOP) terutamanya dengan memakai pelitup muka.
“Alhamdulillah saya bersyukur, rezeki saya. Dalam menyesuaikan diri dalam norma baharu, bab SOP jangan ambil mudah. Ini soal nyawa, Covid-19 boleh membawa maut. Sentiasa sarung pelitup muka, jangan letak di dagu,” katanya. – UTUSAN ONLINE