KUALA LUMPUR : Pelakon, Sherie Merlis, 49, meletakkan harapan agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperbaiki kelemahan dan kekurangan agar tidak menyukarkan rakyat terutama pesakit Covid-19.
Menurut Sherie atau nama sebenarnya Sharifah Saadah, dia percaya seluruh petugas barisan hadapan telah menjalankan kerja dengan baik sepanjang negara berdepan dengan pandemik ini dan soal kekurangan katil dan sistem pengurusan mungkin tidak seharusnya diletakkan di bahu mereka.
“Sebetulnya, saya ingat kes ini cuma berlaku pada keluarga saya sahaja. Rupanya memang betul, di luar sana ramai lagi yang tak tahu dan tak dapat menghubungi pihak yang sepatutnya dengan betul.
“Saya juga bahkan tak pernah menyalahkan petugas barisan hadapan sebab kita sudah cukup tahu betapa penatnya mereka ini dan mereka buat kerja masing-masing.Tapi saya benar-benar berharap agar pihak berwajib dapat memperbaiki sistem kepada yang lebih baik.
“Tak akanlah masalah katil tak cukup dan sebagainya mereka nak kena fikir juga bukan? Pihak atasan sepatutnya ambil tindakan lanjut untuk mengatasi masalah seperti itu,”katanya.
Sherie berkata demikian semasa mengadakan sesi live di akaun Instagramnya hari ini yang turut disertai oleh pengasas Klinik Mega Zahran, Ummul Khairiyah Abdul Rahman dan Ketua Pegawai klinik tersebut, Dr. Sazarul Zafira Zainal Abidin hari ini.
Selain itu, Sherie juga menepis pandangan negatif mana-mana pihak yang menganggap golongan artis sepertinya lebih mudah mendapat perhatian apabila meminta bantuan.
“Saya tak nak orang kata hanya kerana saya artis atau kami ini golongan artis maka orang lebih dengar masalah kami. Saya tak rasa macam itu.
“Saya rasa pihak KKM sudah beri perkhidmatan yang sebaiknya kepada semua masyarakat dan rakyat Malaysia. Bukan saya dan artis saja. Kami ini wakil sahaja dapat suarakan masalah kekurangan dan kelemahan ini seandainya dapat diperbaiki oleh pihak KKM,”katanya.
Dalam pada itu, Sherie melahirkan rasa lega kerana telah selesai menjalani tempoh kuarantin termasuk ahli keluarganya yang positif Covid-19.
Ulas Sherie, dia juga bersyukur melihat tahap kesihatan keluarganya yang lain sudah semakin membaik selepas tempoh kuarantin.
“Kami semua sudah potong gelang kuarantin pada hari merdeka tempoh hari. Alhamdulillah, rasa lega apabila semua sudah semakin sihat dan tak perlu pakai gelang kuarantin lagi. Terasa macam beban emosi itu sudah hilang.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya dan keluarga saya sebelum ini. Saya betul-betul terharu dan tak sangka menerusi video yang saya buat tempoh hari, ramai yang tampil untuk membantu.
“Sedangkan pada awalnya, saya rasa seperti mustahil ada orang akan bantu. Tetapi syukur, suara saya didengari dan ramai yang telah membantu. Terima kasih sangat,”katanya.
Terdahulu, Sherie telah membuat rayuan menerusi satu video di Instagram kerana terdesak meminta bantuan selepas mengalami kebuntuan apabila adik perempuannya disahkan positif Covid-19.
Dalam perkongsian video berdurasi empat minit dan 42 saat tersebut, dia meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya berserta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu.