Ikan lumba-lumba ditemukan mati terdampar di Kuala Perlis

{VIDEO} Ikan lumba-lumba mati terdampar di Kuala Perlis

SYAMIL Abdul Rahman (kiri) bersama ahli PNW mengambil sampel dari ikan lumba-lumba yang ditemukan mati terdampar di pesisir pantai berhampiran Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis, semalam. - FOTO/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seekor ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy seberat kira-kira 150 kilogram dengan panjang sekitar 2.5 meter ditemukan mati terdampar di tepi laut berhampiran Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis, di sini hari ini.

Jumaat lalu, terdapat dua kes ikan lumba-lumba terdampar ditemukan, bagaimanapun ikan berkenaan berjaya diselamatkan oleh nelayan serta dibawa kembali ke tengah laut.

Pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 9 pagi dan tiba di lokasi selang 30 minit kemudian.

Katanya, pihaknya mendapati bangkai ikan tersebut dalam keadaan kategori empat iaitu berbau busuk dan dipercayai sudah mati kira-kira seminggu yang lalu serta dihanyutkan air laut sehingga terdampar di sini.

“Biasanya, kes ikan lumba-lumba terdampar disebabkan mencari makanan seperti ikan belungkang yang banyak berada di pesisir pantai. Apabila air surut dengan cepat, mereka tidak sempat untuk berenang kembali ke tengah laut dan akhirnya terdampar di tepi laut.

“Seperti dua tiga hari lepas, ada ikan lumba-lumba yang terdampar di Kuala Sungai Baru, tetapi nelayan sempat datang menolong dan angkat ikan untuk dibawa ke tengah laut semula,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Video Oleh : NAZLINA NADZARI

Sementara itu, Syamil memberitahu, terdapat peningkatan kes ikan lumba-lumba yang mati terdampar di negeri ini iaitu empat kes tahun ini berbanding tiga pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan kemungkinan haiwan tersebut memakan botol plastik yang dibuang ke laut kerana ikan tersebut adalah sejenis mamalia yang bijak dan hanya memburu ikan sebagai makanannya.

“Masalah sampah itu memang ada, tetapi ikan lumba-lumba ini pandai. Malah boleh dikatakan tidak ada kes terkena kipas bot kerana ikan ini sangat cerdik.

“Hari ini, kami ambil sampel daripada ikan ini dan akan dihantar kepada rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami iaitu Marine Mammal Conservation (MareCet) untuk mengetahui sebab ia mati,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis Selatan, Razak Saad berkata, dia bersama dua rakannya telah menyelamatkan dua ekor ikan lumba-lumba iaitu ibu dan anak yang masih lagi ada tali pusat pada Jumaat lalu 

“Kami bertiga mengangkat ikan itu yang beratnya kira-kira 200 kilogram dan anaknya 30 kilogram naik bot sebelum kami lepaskan di tengah laut kira-kira pukul 5.30 petang. Kami tak tahu jenis ikan ini sebab belum pernah jumpa sebelum ini.

“Ikan itu menanggis bila ibu dan anak dipisahkan kerana hanya boleh bawa seorang dalam satu masa. Tapi akhirnya kedua-dua berjaya diselamatkan.

“Nelayan dengan ikan lumba-lumba ini sudah perkara biasa. Kami selalu berjumpa mereka bermain di tepi bot di laut jadi bila ada yang terdampar itu kami akan tolong bawa mereka ke tengah semula,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya