Anggota ATM mula bina Hospital Medan di HPP hari ini

Hospital Medan HPP mula dibina hari ini

ANGGOTA-ANGGOTA ATM menyiapkan Hospital Medan di pekarangan Hospital Pulau Pinang, Georgetown, yang akan digunakan untuk merawat pesakit kritikal Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan operasi hari ini untuk membina Hospital Medan bagi fasiliti tambahan  perawatan pesakit Covid-19 di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan ATM, Leftenan Kolonel Dr. Zamri Derahman berkata, operasi pembinaan Hospital Medan di perkarangan HPP itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari dan sesi ujian penuh (dry run) dijangka pada Khamis depan.

“Hospital Medan yang seluas 2,400 meter persegi ini akan dilengkapkan dengan empat katil ICU dan 96 katil wad yang dilengkapi sumber oksigen.

“Hospital Medan ini sesuai untuk merawat pesakit Covid-19 yang berada dalam tahap empat dan lima,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan HPP di sini hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebuah Hospital Medan akan dibuka di HPP sini bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.

Khairy berkata, Hospital Medan itu akan mempunyai 100 buah katil dilengkapi kemudahan oksigen, wad pesakit dan lain-lain kemudahan yang mampu merawat pesakit.

Menurut Zambri sebanyak 23 khemah terlibat dalam pembinaan Hospital Medan itu dan kesemua khemah itu dijangka siap dipasang malam ini.

“Bagi pemasangan peralatan teknikal dan mekanikal seperti saluran penyambungan elektrik, kerja awam dan sebagainya, kami menjangka ia dapat diselesaikan dalam tempoh 10 hari.

“Bagaimanapun, kami cuba sedaya untuk menyiapkannya dengan lebih awal namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan lain-lain faktor,” katanya.

Tambahnya, ATM menggerakkan 50 anggota dan empat pegawai untuk proses pembinaan Hospital Medan di HPP itu dan hospital itu merupakan Hospital Medan kesembilan yang dibina oleh ATM.

“Apabila ia beroperasi nanti, ATM akan menggerakkan 22 anggota dan dua pegawai pegawai untuk melicinkan perjalanan operasi Hospital Medan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya