MELAKA: Padah membuat hantaran komen menghina institusi raja dan agama Islam di laman sosial Facebook, seorang sukarelawansebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) rumah ibadat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didapati menggunakan akaun Facebook miliknya, ‘Lionel Proctor’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik iaitu, “Eeewww….. siapa nak hormat raja2kau yg bertaraf mcm ketua kampung jer dan agama kau yang diasaskan bangsa penunggang unta dari padang pasir”.
Ia dilakukan dengan niat untuk menganiaya orang lain yang telah dibaca di profil Facebook, ‘Bantal Busuk’ kira-kira pukul 1 petang di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Disember 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta ama.
Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin yang mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius kerana membabitkan penghinaan ke atas institusi raja dan agama negara.
Peguam Tan Show Teng yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan serendah RM3,000 diberikan dengan alasan anak guamnya itu sedang menjalani rawatan penyakit kanser tiroid dan menghidap Obsessive Kompulsif (OCD) serta Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
Tertuduh juga dikatakan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bertugas sebagai sukarelawan di sebuah NGO rumah ibadat di negeri ini.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 17 Januari 2022 untuk sebutan semua kes. – UTUSAN ONLINE